Tuesday, 16 July 2013

AUDI KURIKULUM PPT 2013 SK SERI CHEDING BERSAMA SEKOLAH-SEKOLAH DUN TELOK DATUK DI PPD KUALA LANGAT


Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia. Sejauh mana status pelaksanaan di sekolah?

PELAN PEMBANGUNAN PENDIDIKAN MALAYSIA
Sejauh mana pelaksanaan di Sekolah Kebangsaan Seri Cheding?
Oleh: Jaini bin Darsan

Apa kata Perdana Menteri Malaysia Tentang Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia
Pendidikan ialah penyumbang utama pembangunan modal sosial dan ekonomi negara.
Pendidikan juga merupakanpencetus kreativiti dan penjana inovasi yang melengkapkan generasi muda dengan kemahiran yang diperlukan untuk bersaing dalam pasaran kerja,dan menjadi pengupaya perkembangan ekonomi keseluruhannya. Sehubungan dengan itu, kerajaan perlu memastikan sistem pendidikan negara berfungsi secara berkesan untuk menjayakan Model Baru
Ekonomi, Program Transformasi Ekonomi dan Program Transformasi Kerajaan yang
menjadi asas perkembangan ekonomi negara dalam persaingan ekonomi global.
Sistem pendidikan kita merupakan tunjang pembangunan negara.Sistem ini telah menyediakan  ilmu pengetahuan dan kemahiran kepada generasi kini dan generasi sebelumnya bagi memacu pertumbuhan ekonomi dan memakmurkan negara. Sesungguhnya, kejayaan sistem pendidikan adalah hasil kegigihan dan dedikasi para guru, pengetua, pentadbir, pegawai dan kakitangan sokongan yang menjadi teras kekuatan Kementerian Pelajaran sejak dahulu hingga kini. Bakti yang telah dicurahkan oleh mereka tidak dapat disangkal oleh manamana pihak. Dalam tempoh lebih 55 tahun negara mencapai kemerdekaan misalnya, kita menyaksikan peningkatan yang
ketara akses pelbagai peringkat pendidikan. Negara boleh berbangga dengan kejayaan kita menyediakan pendidikan rendah dan menengah rendah yang telah mencapai tahap hampir sejagat. Kejayaan negara menyediakan peluang pendidikan dalam tempoh yang singkat selepas merdeka telah diakui dan diiktiraf oleh pertubuhan antarabangsa, seperti UNESCO dan Bank Dunia. Dalam usaha mencapai aspirasi yang tinggi dalam persekitaran persaingan global yang semakin sengit, kita tidak boleh lalai. Oleh itu, Malaysia perlu melaksanakan perubahan besar terhadap keseluruhan sistem pendidikan semasa untuk melonjakkan pencapaian semua murid. Tidak dinafikan bahawa proses pelaksanaan transformasi pendidikan memerlukan pendekatan
dan strategi baharu agar setiap murid mampu memiliki dan menguasai kemahiran yang diperlukan dalam abad ke-21. Oleh yang demikian, transformasi pendidikan bukan sekadar
menambah bilangan kakitangan dan kemudahan, malah perlu menjurus kepada usaha untuk memahami dan menambah baik dinamik proses pengajaran dan pembelajaran. Dalam usaha mencapai hasrat tersebut, kerajaan mengambil langkah menggubal Pelan Pembangunan Pendidikan. Pelan ini menyediakan kerangka pembangunan yang menyeluruh untuk
menzahirkan transformasi sistem pendidikan secara pantas dan mapan sehingga tahun 2025. Bersandarkan inisiatif yang telah diperkenalkan bawah Bidang Keberhasilan Utama Negara,
pelan pembangunan ini menggariskan perubahan besar yang kita hasratkan. Antara lain,
perubahan yang dimaksudkan merangkum aspek pendekatan pembelajaran murid, kaedah
pemilihan guru, latihan guru, penyediaan ganjaran kepada guru dan pemimpin sekolah, dan pendekatan pengoperasian Kementerian. Pelan ini dengan jelas menggambarkan faktor
penambahbaikan penting bagi setiap langkah dalam perjalanan transformasi yang bakal dilalui.
Kesemua matlamat ini melambangkan cita-cita kita yang tinggi. Namun, saya yakin kita berupaya mencapainya. Hal ini termasuklah memastikan enrolmen sejagat pada pelbagai peringkat pendidikan, iaitu daripada prasekolah hingga menengah atas dalam tempoh 10 tahun akan datang, mengurangkan separuh jurang pencapaian antara kelompok kaya dengan miskin, bandar dengan luar bandar, dan antara negeri dalam tempoh yang sama, meningkatkan kedudukan pencapaian negara daripada kelompok sepertiga terbawah kepada kelompok sepertiga teratas dalam kalangan negara yang menyertai pentaksiran peringkat antarabangsa, seperti PISA dan TIMSS, dalam tempoh l5 tahun akan datang, dan membina sistem pendidikan yang mengasuh kanak-kanak untuk menghargai keunikan identiti sebagai warganegara Malaysia. Secara keseluruhannya, hasrat ini mesti dicapai melalui pengagihan sumber yang terancang dan teliti, dan seterusnya memastikan setiap ringgit dibelanjakan untuk meningkatkan keberhasilan dan kemenjadian murid. Pada kesempatan ini, saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Kementerian Pelajaran dan semua pihak yang menyumbang kepada pembinaan Pelan Pembangunan Pendidikan ini. Saya akui bahawa bukanlah mudah untuk melaksanakan transformasi sistem pendidikan, dan kita bakal berdepan dengan pelbagai cabaran sepanjang tempoh pelaksanaannya. Tetapi percayalah, bukan sahaja kerajaan dan Kementerian
Pelajaran yang komited untuk mencapai kesemua matlamat ini, malah saya secara peribadi juga komited. Dengan berganding bahu bersama-sama rakyat, saya amat yakin bahawa kita akan terus
tabah dan dapat memastikan setiap matlamat berjaya dicapai. Daripada ibu bapa, anggota masyarakat sehinggalah sektor swasta, kita semua mempunyai peranan dalam meningkatkan kualiti system pendidikan negara yang akan membantu menyemai benih kejayaan
anak kita, yang dapat kita laksanakan dengan bangganya. Insya Allah, marilah kita harungi perjalanan yang menguja, mencabar dan amat penting ini secara bersama, sebagai satu
bangsa.

YAB Dato’ Sri Mohd Najib bin Tun Haji Abdul Razak
Perdana Menteri Malaysia

1.      Konsep Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia

Malaysia sedang berhadapan dengan cabaran yang getir dalam usaha menyediakan sistem pendidikan berkualiti. Perkembangan sosiobudaya yang sihat dan pembangunan ekonomi mapan bergantung pada keupayaan menambah baik keberhasilan sistem pendidikan negara dengan cepat
dan berkesan, serta signifikan kepada keperluan negara. Rakyat Malaysia juga menuntut supaya pelaksanaan inisiatif yang dirancang oleh Kerajaan adalah tekal, berkesan dan berjaya memenuhi hasrat semua pihak. Oleh yang demikian, adalah penting untuk mewujudkan kerjasama antara pihak berkepentingan melibatkan murid, guru, pemimpin sekolah, pegawai Kementerian serta pihak awam untuk menghadapi cabaran ini dengan pendekatan dan strategi baharu yang lebih kreatif dan inovatif. Berdasarkan penyelidikan dan penilaian yang mendalam dan menyeluruh terhadap sistem pendidikan semasa di Malaysia, pelibatan awam, dan rundingan dengan pelbagai kumpulan berkepentingan, Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) telah menghasilkan laporan awal Pelan Pembangunan Pendidikan. Pelan ini berhasrat merintis peluang yang lebih luas ke arah keberhasilan rakyat yang berpendidikan tinggi dan berdaya saing. Pendidikan memainkan peranan penting dalam perkembangan ekonomi dan pembangunan sesebuah negara. Untuk itu, proses pembelajaran dan pengajaran yang berlaku di dalam bilik darjah merupakan penentu utama kejayaan masa depan negara. Dalam ekonomi global masa kini, kejayaan sesebuah negara bergantung pada pengetahuan, kemahiran dan kompetensi yang dimiliki oleh rakyatnya. Maka tidak menghairankan sekiranya sesebuah negara yang mempunyai rakyat berpendidikan tinggi mampu menjana ekonomi dengan pesat demi kemakmuran negara. Pendidikan juga merupakan asas pembentukan negara bangsa yang bersatu padu. Melalui pendidikan, individu berpeluang meningkatkan kualiti hidup, menjadi ahli masyarakat yang berjaya, serta aktif menyumbang kepada pembangunan negara. Pendidikan juga menyumbang kepada penghayatan nilai dan perkongsian aspirasi apabila individu dari pelbagai latar belakang sosioekonomi, agama dan etnik berinteraksi serta belajar memahami dan menerima perbezaan. Nilai dan pengalaman yang dikongsi akan mengukuhkan lagi perpaduan dan membentuk satu identiti nasional. Oleh yang demikian, sistem pendidikan negara mesti berupaya melahirkan generasi yang mempunyai matlamat dan impian yang sama ke arah pembangunan negara Malaysia yang lebih maju pada masa depan. Baru-baru ini, sistem pendidikan negara sering menjadi perhatian dan bahan perdebatan. Polemik ini berbangkit disebabkan jangkaan ibu bapa semakin meningkat, manakala majikan pula menyuarakan kebimbangan tentang keupayaan sistem pendidikan negara dalam menyediakan generasi muda Malaysia dengan ilmu, kemahiran, dan nilai murni untuk menyumbang kepada pembangunan ekonomi abad ke-21. Lazimnya, kepelbagaian dan kompleksiti sistem pendidikan sesebuah negara yang ingin melaksanakan transformasi mengambil masa selama beberapa tahun sebelum hasilnya dapat dizahirkan dan dilihat. Oleh yang demikian, Kerajaan dan Kementerian perlu segera memulakan tindakan berani, bersungguh-sungguh, dan drastik dalam melaksanakan transformasi yang penting dan kritikal ini. Pelan Pembangunan Pendidikan ini dihasilkan oleh Kementerian melalui kajian dan penilaian yang mendalam serta pelibatan meluas pihak awam. Berdasarkan kedudukan pencapaian sistem pendidikan Malaysia pada masa kini dan cabaran yang bakal ditempuhi, Pelanini bermatlamat mengukuhkan visi dan aspirasi sistem pendidikan Malaysia sehingga tahun 2025. Pelan ini juga menyediakan hala tuju dasar dan inisiatif pelaksanaan yang direncanakan dengan terperinci bagi mencapai matlamat sistem pendidikan negara yang dinamik serta
memenuhi hasrat dan keperluan semua.

Pelaksanaan di Sekolah Penulis Bagi Mancapai Objektif  PPPM

Sebelum  kita membincangkan objektif  Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025, perlu kita lihat ASPIRASI yang terkandung dalam PPPM kerana objektif PPPM berdasarkan apriasi ini, dan bagaimana penulis  mengaplikasikannya dalam pengurusan organisasi.

OBJEKTIF PELAN PEMBANGUNAN PENDIDIKAN MALAYSIA

Pelan Pembangunan Pendidikan ini telah dirangka bagi menghadapi cabaran abad ke-21 berasaskan dasar dan laporan terdahulu yang sangat besar pengaruhnya. Pelan ini berfokuskan cara membangunkan dan meneruskan perkembangan, serta menambah baik sistem pendidikan
secara berterusan. Bagi tujuan itu, Pelan Pembangunan Pendidikan dirangka berasaskan tiga objektif yang khusus seperti yang berikut:



1.      Memahami prestasi dan cabaran semasa sistem pendidikan Malaysia berfokuskan
      penambahbaikan akses kepada pendidikan, meningkatkan standard (kualiti), merapatkan  
      jurang pencapaian (ekuiti), menggalakkan perpaduan dalam kalangan murid serta
      memaksimumkan keberkesanan sistem;

2.      Mewujudkan visi dan aspirasi yang jelas untuk system pendidikan dan setiap murid
bagi 13 tahun yang seterusnya sehingga tahun 2025; dan

3.      Menggariskan program transformasi yang menyeluruh untuk sistem pendidikan,
termasuk perubahan utama dalam Kementerian Pelajaran Malaysia, yang membolehkan sistem ini memenuhi permintaan baharu dan jangkaan yangmeningkat serta menyokong transformasi perkhidmatan awam.

Pelaksanaan di Sekolah Bagi Mencapai Objektif Pelan Pembangunan Pembangunan Pendidikan Malaysia

Ojektif 1 - Memahami prestasi dan cabaran semasa
1.      Sistem pendidikan Malaysia berfokuskan penambahbaikan akses kepada pendidikan, meningkatkan standard (kualiti), merapatkan   jurang pencapaian (ekuiti), menggalakkan perpaduan dalam kalangan murid serta  memaksimumkan keberkesanan sistem;



Pelaksanaan di Sekolah
1.1   Penambahbaikan akses kepada pendidikan – Akses didefinisikan sebagai ‘jalan masuk’ atau kata lain peluang mendapatkan sesuatu.
Bagi keperluan  akses di atas, bilangan peratusan enrolmen pelajar belajar di sekolah ini bagi murid Tahun 1 hingga Tahun 6 pada tahap 100 peratus kecuali pendidikan prasekolah yang hanya mencapai 73.33 peratus kemasukan daripada 75 tempat yang disediakan untuk murid prasekolah di sekolah ini.


1.2  Meningkatkan Standarad (Kualiti)
Sehubungan dengan itu, sekolah bukan sahaja  memberikan akses atau peluang untuk menikmati pendidikan di sekolah malah sekolah dijadikan sumber akses meningkatkan standarad (kualiti) , sebagai contoh penetapan Standarad Kualiti Pendidikan Malaysia (SKPM) oleh setiap sekolah mesti selaras dengan pencapaian sebenar sekolah.

 Berikut diberikan contoh pengisian penetapan standard kualiti sekolah penulis pada tahun 2012 sedangkan kalau menurut  PPPM  kualiti pendidikan  dibandingkan dengan peringkat antarabangsa namun dalam pelaksanaan di sekolah, pencapaiaan dibandingkan pada peringkat daerah, negeri dan negara. Dengan cara ini setiap sekolah dapat melihat ranking di daerah, negeri atau negara. Pada prinsipnya, perbandingan ranking yang dibuat dapat menjana usaha setiap pengurus dan pemimpin sekolah bagi meningkatkan kualiti kecemerlangan sekolah masing-masing bardasarkan dimensi dan elemen yang ditetapkan dalam (Standard Kualiti Pendidikan Malaysia) SKPM seperti contoh di bawah. Dokumen ini merupakan satu-satunya dokumen yang diguna pakai pada hari ini bagi menentukan sejauh mana pelaksanaan dasar dan arahan kementerian di peringkat sekolah.  Selain itu pelbagai kaedah dan cara digunakan bagi membantu peningkatan kualiti pendidikan pada peringkat sekolah. Antaranya program-program berkaitan akademik, kokurikulum dan perkembangan staf bagi menyahut cabaran dan matlamat kecemerlangan yang dihajatkan. Semua program tersebut menjurus kepada menyahut dasar PPPM yang mahukan kualiti dicapai pada setiap organisasi yang secara langsung akan menyumbang kepada peningkatan kualiti akademik kepada negara dan peringkat global amnya.

Berikut di gambarkan beberapa peristiwa kepada usaha peningkatan kualiti akademik yang telah dilaksanakan oleh pihak sekolah penulis.
LINUS
Budaya Sekolah - Perhimpunan pagi

    Standard Kualiti Pendidikan Malaysia (SKPM) sekolah penulis.     
Data skor yang diberi berdasarkan Dimensi dan Elemen yang telah ditetapkan mesti menunjukkan keadaan sebenar sekolah. Ranking Sekolah ditentukan oleh jumlah besar peratusan dan Gred Purata Sekolah (GPS) dalam pencapaian peperiksaan awam (UPSR Tahun Semasa ). Kecemerlangan sekolah diukur oleh ranking tersebut. Untuk mencapai peningkatan ranking sekolah pada peringkat kebangsaan pengurus sekolah mesti mempunyai tahap pengetahuan yang tinggi tentang Standarad Kompetensi Pengurusan dan Kepimpinan .

1.3  merapatkan jurang perbezaan pencapaian (ekuiti)
Dalam hai ini pengurusan sekolah telah berusaha menggerakkan dan melaksanakan Perancangan Strategik dan menentukan (SWOT) yang dilihat sebagai kekuatan dan kekangan bagi mengurus setiap unit dan sumber terutama kurikulum  yang dapat digunakan bagi meningkatkan kecemerlangan keputusan peperiksaan awam yang dijadikan perbandingan bagi melihat jurang perbzaan antara sekolah-sekolah Bandar dan luar Bandar. Usaha gigih pengurus sekolah , guru-guru dan komuniti setempat terutama dalam melaksanakan SARANA SEKOLAH & SARANA IBUBAPA yang disarankan dalam PPPM diharapkan akan  dapat merialisakikan inspirasi ini.

 
ProgramTaklimat Tuisyen Rakyat 1Malaysia(‘TR1M)  bersama Ibubapa murid Tahun 5 dan Tahun 6 yang diharapkan dapat menjana kecemerlangan akademik anak-anak secara on-line dengan bantauan dan pemantauan ibubapa

1.4   menggalakkan perpaduan dalam kalangan murid
Memupuk perpaduan bukan sahaja bagi sekolah-sekolah yang mempuyai pelajar-pelajar berbilang kaum. Bilangan pelajar di sekolah penulis seramai 347 orang. Pelajar bukan Melayu  seramai 4 orang. Tidak semestinya bilangan pelajar bukan Melayu yang  seramai 1.15 peratus itu pihak sekolah tidak perlu melaksanakan program memupuk perpaduan. Pada hakikatnya memupuk nilai perpaduan bukan sahaja bagi pelajar dan masyarakat berbilang kaum tetapi bagi suatu bangsa yang berbilang fahaman politik, budaya, sosioekonomi dan cara hidup.  Suatu bangsa yang berbilang fahaman politik, budaya, sosioekonomi dan cara hidup ini perlukan nilai perpaduan supaya kehidupan mereka boleh bekerjasama antara satu sama lain tanpa ada perasaan berpuak-puak dalam kalangan mereka. Perasaan dan cara hidup berpuak-puak memang wujud dalam kalangan komuniti masyarakat di sekolah penulis. Secara tidak langsung ia wujud dalam kalangan pelajar-pelajar di sekolah ini. Sehubungan dengan itu, pengurus sekolah mesti mebuat perancangan strategik bagi membendung keadaan sebegini. Antara cara yang di amalkan oleh penulis bagi memastikan mereka yang berbagai fahaman ini memberikan kerjasama kepada sekolah penulis mengambil pendekatan turun padang dengan mendekati seluruh masyarakat kampung.  Penulis sedaya upaya bersama dalam program dan aktiviti masyarakat kampong seperti majlis perkahwinan, kematian dan mendekati mereka di warung-warung kopi sekiranya berkesempatan. Setelah setahun penulis bergaul bersama mereka jurang perbezaan dan tanggapan negatif terhadap sekolah telah kian pudar dan mereka akan turut serta dalam program-program sekolah. Antara contoh yang ingin penulis kongsi dalam kertas kerja ini adalah ‘sekolah macam musuh’. Minggu pertama penulis cuba mendekati ahli komuniti di sini, penulis telah diceritakan dengan pelbagai perasaan tidak puas hati daripada kalangan ahli masyarakat di sini. Mereka mengatakan pengurus dan guru-guru sombong dan ada yang mengatakan ‘jangan sampai ada guru yang kena penangan’ atas tindakan mendenda anak-anak mereka. Selain itu maklumat daripada pihak guru pula, komuniti masyarakat tidak memberikan kerjasama mahupun member apa-apa sumbangan pada setiap program sekolah antaranya sukan tahunan. Kalau nak mohon sumbangan duit lagi sukar.  Ini satu cabaran yang perlu dipikul oleh penulis dan perlu diselesaikan dengan pendekatan yang sangat halus dan teliti kerana ia melibatkan nilai kepercayaan  dan itegriti. Namun setelah setahun penulis menyelami hati komuniti masyarakat di sini perkara tersebut dapat diatasi. Kerjasama dan komitmen mereka terhadap program-program sekolah telah bertambah baik, sekolah mudah mendapat sumbangan mahupun tenaga atau wang ringgit daripada mereka. Inilah nilai perpaduan sebenar yang perlu difahami oleh semua para pengurus sekolah. Tidak semestinya hanya pada dasar perbezaan kaum namun lebih daripada itu.


1.5      memaksimumkan keberkesanan sistem;

    Sistem dalam objektif PPPM ini lebih merujuk kepada kaedah atau method bagaimana peruntukan  kewangan, sukatan palajaran, kandungan pelajaran dan arahan pekeliling pendidilkan yang diturunkan oleh pihak kerajaan dapat dilaksanakan bagi memaksimumkan keberhasilan atau kemenjadian murid seperti mana yang digariskan dam Falsafah Pendidikan Kebangsaan. Sekiranya organisasi sekolah masih kurang cekap dalam menangani kaedah tersebut bermakna organisasi sekolah itu gagal  memaksimumkan keberhasilan murid. Oleh hal demikaian,  Standard 4 dalam SKPM iaitu standarad pencerapan pengajaran dan pembelajaran guru dalam bilik darjah sebagai satu contoh yang mesti dilaksanakan dengan berkesan bagi memastikan keberhasilan dalam pendidikan menjadi kenyataan. Keberhasilan tersebut akan menyumbang kepada peningkatan pencapaian akademik sekolad, daerah, negeri, negara dan seterusnya pada peringkat global. Barulah negara dapat bersing dengan negara-negara lain dalam bidang pendidikan.


Objektif 2. Mewujudkan visi dan aspirasi yang jelas untuk system pendidikan dan setiap murid bagi 13 tahun yang seterusnya sehingga tahun 2025; dan
Visi dan Aspirasi
Sistem pendidikan sesebuah negara wajar didasarkan pada aspirasi yang berkait rapat dengan konteks negara itu. Walaupun terdapat perspektif yang berbeza tentang perkara yang menjadikan sistem pendidikan Malaysia hebat, namun hampir semua pihak berkepentingan setuju bahawa sistem ini perlu ditambah baik bagi memenuhi harapan dan jangkaan rakyat. Dalam  kertas kerja ini telah digambarkan bagaimana objekti1 PPPM berkaitan asprasi PPPM dilaksanakan dalam perenggan di atas. Namun bagi membincangkan dua aspek berkaitan masa depan sistem pendidikan, iaitu gambaran sistem pendidikan setelah ditransformasi, dan harapan serta aspirasi setiap murid di Malaysia akan dibincangkan dalam perenggan ini.
Setiap sekolah mempunyai visi dan misinya sendiri sebagaimana yang digariskan oleh kepimpinan di atas iaitu  Jabatan Pelajaran Negeri dan Kementerian Pelajaran Malaysia. Tetapi persoalannya, sejauh manakah visi dan misi tersebut dilaksanakan bagi mencapai matlamat pendidikan setelah  sistem pendidikan  ditransformasi, dan adakah harapan serta aspirasi setiap murid di Malaysia akan tercapai sepanjang dan setelah pelaksanaan PPPM. Tugas mentransformasikan visi dan misi PPPM adalah pengurus sekolah dan guru-gurunya namun pada peringkat awal pelaksanaan terdapat banyak kekangan yang dihadapi sebangai contoh dalam penggunaan gajet untuk mengakses system on-line dalam semua perkara berkaitan pendidikan masih perlu dibaiki dan ditingkatkan. SAPS dan SPPBS adalah dua contoh aplikasi on-line yang masih pelukan penambahbaikan bagi melancarkan proses penyaluran data yang akan digunakan oleh pihak jabatan mahupun kementerian. Peningkatan pemahaman dalam kalangan guru berkaitan PPPM juga mesti seiring dengan pelaksnaan PPPM. Guru adalah sebagai pihak pelaksana, sekiranya pelaksana berprestasi rendah hasilnya juga rendah. Ini akan mengganggu kelancaran pelaksanaan PPPM.
Contoh: Sistem Pengurusan Pentaksiran yang diguna pakai dalam pelaksanaan PPPM

Objektif 3. Menggariskan program transformasi yang menyeluruh untuk sistem pendidikan, termasuk perubahan utama dalam Kementerian Pelajaran Malaysia, yang membolehkan sistem ini memenuhi permintaan baharu dan jangkaan yang meningkat serta menyokong transformasi perkhidmatan awam.

Bagi memastikan objektif ke-3 PPPM ini pihak sekolah mesti faham dan menghayati semua program transformasi pendidikan secara menyeluruh dan memenuhi permintaan dan jangkaan yang digariskan oleh pihak Kementerian Pelajaran. Berikut 11 Anjakan PPPM yang mesti dihayati dan dilaksanakan oleh semua warga pendidik sama ada dari peringkat pelaksana atau ke peringkat  pembina dasar. Segala keterangan berkaitan objektif 3 ada dinyatakan di bawah;
PPP menggunakan 11 anjakan utama yang akan dilaksanakan dalam tempoh 13 tahun dan membabitkan 3 fasa atau dipanggil gelombang dalam memastikan anjakan dalam sistem pendidikan negara. Dalam muka surat 22 ada disenaraikan 11 fokus anjakan dalam mentransformasikan sistem.


Menurut
 Berita Harian, 

"Gelombang pertama membabitkan penyediaan Pelan Pembangunan Pendidikan, di mana keperluan guru diberikan penekanan serta pelajar akan diberikan tumpuan dalam pembangunan kemahiran asas mereka. 

Bagi gelombang kedua, rancangan pelaksanaannya akan dilakukan berasaskan perkembangan dan pencapaian semasa.

Untuk gelombang ketiga pula, bermula 2020 hingga 2025, kuasa autonomi membabitkan pentadbiran sekolah akan diberikan."

Antara 11 anjakan tersebut adalah :

1.  Menyediakan Kesamarataan Akses Kepada Pendidikan Berkualiti Bertaraf Antarabangsa.
2.  Memastikan  Setiap Murid Profisien Dalam Bahasa Malaysia dan Bahasa Inggeris.
3.  Melahirkan  Rakyat   Malaysia  Dengan Penghayatan Nilai.
4.  Tranformasi Keguruan Sebagai Profesion Pilihan.
5.  Memastikan Kepimpinan Berprestasi Tinggi Di tempatkan Setiap Sekolah.
 
6.  Mengupaya JPN, PPD dan Sekolah Untuk Menyediakan Penyelesaian Khusus Berasaskan Keperluan
7.  Memanfaatkan ICT Bagi Meningkatkan Kualiti  Pembelajaran Di  Malaysia.
8.  Mentranformasi kebolehupayaan dan Kapasiti Penyampian Kementerian.
9.  Bekerjasama Dengan Ibu Bapa, Komuniti dan Sektor Swasta Secara Meluas.
10. Memaksimumkan   Keberhasilan  Murid  Bagi Setiap Ringgit.
11. Meningkatkan Ketelusan Untuk Akauntabiliti Awam Secara Langsung.

BAGAIMANA ISU DASAR PPPM DISALURKAN
1     Penyaluran Maklumat PPPM Kepada Pengurus Sekolah dan Guru
Tuesday, September 11, 2012- Laporan awal Pelan Pembangunan Pendidikan 2013-2025 (PPP) baru sahaja dilancarkan oleh Perdana Menteri kita pagi tadi di Kuala Lumpur Convention Centre.
Sejak pelancaran laporan awal PPPM, semua pengurus sekolah telah diberikan taklimat awal  supaya bersedia untuk menguar-uarkan pelan tersebut kepada seluruh peringkat organisasi dan komuniti di sekolah masing-masing. Bagi penulis taklimat tersebut telah disampaikan sendiri oleh Pegawai Pelajaran Daerah. Kemudian penulis menjelaskan PPPM kepada semua warga sekolah dalam mesyuarat guru dan kakitangan sekolah pada 26 Disember 2012. Salinan 11 anjakan dan 3 peringkat gelombang  pelaksanaan PPPM telah diberikan kapada semua guru untuk dibaca dan dihayati. Penulis mengharapkan agar semua guru akan bersedia untuk melaksanakan segala dasar dan kehendak  serta matlamat yang ingin di capai dalam PPPM.
2     Penyaluran Maklumat PPPM Kepada Pelajar
Maklumat berkaitan PPPM disampaikan sendiri oleh penulis pada hari pertama sesi persekolahan. Penulis mengharapkan seluruh pelajar berusaha meningkatkan prestasi akademik masing-masing untuk diri, keluarga dan sekolah.
3     Penyaluran Maklumat PPPM Kepada IbuBapa
Penyaluran maklumat berkaitan PPPM juga telah disampaikan kepada ibubapa pelajar sekolah penulis pada perjumpaan ibubapa Tahun 6 dan Mesyuarat Agung PIBG sekolah penulis. Penerangan terperinci tentang PPPM telah diberikan. Selain itu paparan tentang Sarana Ibubapa yang terkandung dalam PPPM ada dimuat turun dalam blog sekolah dan boleh dibaca oleh ibubapa. Soal selidik dan borang-borang kajian berkaitan komitmen para palajar, guru dan ibubapa telah dianalisis dan telah dibuat kesimpulan atas kefahaman dan penyertaan mereka dalam membantu proses pelaksanaan PPPM.
Blog sekolah penulis yang memaparkan komitmen sekolah tentang dasar dan pelaksanaan PPPM
Selain itu, taklimat bagaimana mengakses maklumat pencapaian dalam peperiksaan anak-anak mereka melalui SPPBS seperti dalam objektif 2 juga telah diadakan.

4   Penyaluran Maklumat PPPM Kepada Komuniti Masyarakat
     Yang  Berbeza Amalan Politik
Komuniti masyarakat di persekitaran sekolah penulis memang kuat mengamalkan politik yang berbeza namun penulis dapat menggunakan pengaruh dan khidmat mereka bagi membantu menyumbang tenaga dan kewangan dalam program-program di sekolah. Antaranya sumbangan  disalurkan kepada program Tilawah Zon Utara, Pertandingan Bola Baling Daerah dan sukan tahunan sekolah. Program-program ini memerlukan dana kewangan yang besar, peruntukan wang kerajaan tidak dapat menampung. Oleh hal demikian sumbangan daripada mereka banyak membantu pihak sekolah. Dalam pemilihan jawatankuasa PIBG sesi 2013-2015 semua ahli yang terpilih terdiri daripada individu yang mempunyai fahaman politik yang berbeza. Mereka dapat memberi kerjasama yang sebaiknya untuk pembangunan pendidikan di sekolah ini. Sebagai contoh ‘TR1M’ seperti mana yang dinyatakan dalam objektif 1.3 PPPM, taklimat dan program tersebut adalah dari satu parti politik tetapi mereka yang hadir dapat menerimanya demi kejayaan anak-anak mereka. Akhirnya…..
Sistem pendidikan Malaysia berhasrat memastikan setiap murid mencapai potensi sepenuhnya. Setiap pemimpin sekolah, guru, ibu bapa, dan masyarakat mempunyai peranan penting dalam memastikan generasi muda ini mencapai aspirasi yang diharapkan. Pelan Pembangunan Pendidikan akan terus menterjemahkan semangat Falsafah Pendidikan Kebangsaan yang merencanakan pendidikan seimbang sebagai asas mencapai aspirasi murid. Pelan Pembangunan Pendidikan ini juga mengambil pengajaran daripada sistem pendidikan berprestasi tinggi bagi membangunkan unsur murni dan kecekapan tertentu yang diperlukan oleh murid untuk berjaya dan berkembang maju dalam dunia global yang semakin mencabar. Sehubungan itu, semangat Falsafah Pendidikan Kebangsaan tentang pendidikan seimbang merangkumi enam elemen (Ekshibit 2-3). Elemen ini bukan sahaja menekankan kepentingan pengetahuan dan kemahiran, tetapi juga pembangunan kemahiran pemikiran kritis, kreatif dan inovatif; kemahiran memimpin; kemahiran dalam bahasa Malaysia dan bahasa Inggeris; sahsiah dan nilai serta semangat identiti nasional yang kuat. Elemen ini turut memberi penekanan kepada usaha bagi membolehkan semua murid memberikan sumbangan yang bermakna kepada keluarga, masyarakat dan negara.

Pengetahuan
Pada peringkat paling asas, setiap murid perlu memiliki keupayaan literasi dan numerasi sepenuhnya. Aspek ini melengkapkan mereka dengan kemahiran hidup asas, serta berfungsi secara berkesan dalam masyarakat bagi membolehkan mereka memupuk nilai untuk diri
sendiri, masyarakat, dan negara. Di samping itu, penting bagi murid menguasai mata pelajaran teras seperti Bahasa Malaysia, Bahasa Inggeris, Matematik, Sains, dan Sejarah. Sebagai murid yang serba boleh, mereka juga digalakkan untuk mendapatkan maklumat dan pengetahuan dalam bidang lain, seperti seni, muzik, dan sukan. Selain pengetahuan dalam bidang ini, murid juga perlu mempunyai kemahiran mengaplikasi pengetahuan ini dalam situasi harian.


Kemahiran Berfikir
Setiap murid perlu mempunyai semangat ingin tahu, dan belajar cara untuk terus mendapatkan pengetahuan sepanjang hayat, mampu menghubung kait pelbagai pengetahuan, dan yang paling penting dalam ekonomi berasaskan pengetahuan ialah mewujudkan pengetahuan baharu. Setiap murid perlu menguasai pelbagai kemahiran kognitif yang penting:

Pemikiran Kreatif dan Inovatif: kemampuan menginovasi, menjana kemungkinan baharu, dan mencipta idea atau pengetahuan baharu;
Penyelesaian Masalah dan Penaakulan: keupayaan meramal masalah dan mendekati isu secara kritis, logik, induktif, dan deduktif bagi mencari penyelesaian, dan akhirnya membuat keputusan; dan
Keupayaan Belajar: keupayaan memacu pembelajaran sendiri, dengan kemampuan menghargai nilai pembelajaran sepanjang hayat. Sejarah membuktikan bahawa sistem pendidikan memerlukan penambahbaikan bagi membolehkan murid yang kurang mampu mengaplikasi pengetahuan serta berfikir secara kritis di luar konteks akademik biasa. Sehubungan itu, sistem pendidikan menjadi lebih penting bagi membantu setiap murid memperoleh kemahiran berfikir.

Kemahiran memimpin
Kemampuan bekerja dengan berkesan dan memimpin orang lain adalah penting, terutamanya dalam dunia yang semakin saling bergantung. Dalam Dialog Nasional, kepentingan memupuk kepimpinan dan keupayaan bekerja secara berkesan dalam satu pasukan bagi setiap murid sering dibangkitkan. Sistem pendidikan berusaha membantu setiap murid mencapai potensi penuh mereka melalui pelibatan sebagai pemimpin, serta bekerja dalam kumpulan. Dalam konteks system pendidikan, kepimpinan mempunyai empat unsur:
▪ Keusahawanan: mengambil inisiatif untuk mewujudkan dan membangunkan penyelesaian sendiri, dan bagi tujuan itu sanggup membuat pelaburan daripada sumber sendiri, serta terdorong untuk memastikan penyelesaian itu dizahirkan;
▪ Berdaya tahan: membangunkan cara berfikir yang konstruktif serta mampu menghadapi rintangan;
▪ Kecerdasan emosi: berupaya memahami dan bekerja secara berkesan dengan orang lain serta mampu mempengaruhi mereka secara positif; dan
▪ Keterampilan komunikasi: berupaya memberikan pendapat dan hasrat secara lisan dan bertulis dengan jelas. Sekolah perlu menggunakan peluang yang disediakan di dalam bilik
darjah melalui aktiviti berasaskan projek dan kerja kumpulan, aktiviti di luar bilik darjah melalui sukan, seni, serta aktiviti kokurikulum dalam membangunkan keperibadian murid.

 Kemahiran Dwibahasa
Setiap kanak-kanak menguasai bahasa Malaysia sebagai bahasa kebangsaan, dan Bahasa Inggeris sebagai bahasa kedua dan bahasa komunikasi antarabangsa. Setiap kanak-kanak juga berpeluang mempelajari bahasa tambahan. Kepelbagaian Malaysia yang unik dan warisan berbilang budaya memberikan kelebihan daya saing kepada semua. Oleh itu, dalam jangka
masa tertentu, semua murid dari semua kumpulan etnik dan komuniti digalakkan untuk belajar sekurang-kurangnya tiga bahasa (bahasa Malaysia, bahasa Inggeris, bahasa lain seperti bahasa Mandarin, bahasa Tamil, dan bahasa Arab, serta bahasa ibunda lain seperti bahasa Iban
dan bahasa Kadazan Dusun) bagi membolehkan mereka bekerjasama dan berkomunikasi secara berkesan dengan rakan dalam kalangan rakyat Malaysia dan juga negara jiran dalam dunia global masa kini.

Etika dan Kerohanian
Sistem pendidikan akan mempersiapkan setiap murid supaya berani menghadapi cabaran masa depan, menyelesaikan konflik secara aman, membuat keputusan yang wajar dalam situasi kritikal, dan mempunyai keberanian melakukan apa yang betul. Penekanan diberikan kepada setiap murid dengan mewujudkan satu set prinsip, termasuk nilai bersama yang kukuh yang didukung oleh semua rakyat Malaysia:
▪ Kerohanian: mempunyai pegangan agama yang kuat dan mengamalkannya sebagai asas hidup, serta mendukung standard moral yang tinggi;
▪ Integriti: mempunyai keberanian, disiplin, dan semangat untuk melakukan perkara yang betul; dan
▪ Tanggungjawab sivik: bertindak untuk kebaikan negara, mengambil
berat terhadap orang lain dan alam sekitar, dan memiliki keupayaan yang mendalam untuk memberikan sumbangan kepada masyarakat.
Identiti Nasional
Rakyat Malaysia perlu mempunyai perasaan tidak berbelah bahagi tentang identiti nasional, berpegang teguh dengan prinsip Rukunegara untuk perpaduan dan masa depan Malaysia. Setiap murid tanpa mengira etnik, kepercayaan, taraf sosioekonomi atau tempat berbangga menjadi
rakyat Malaysia. Pencapaian matlamat patriotisme ini memerlukan semangat keterangkuman yang diperoleh dengan belajar memahami perbezaan dan bertolak ansur, menerima dan menghormati orang lain, dan juga untuk hidup bersama dalam kepelbagaian masyarakat Malaysia. Identiti nasional juga memerlukan setiap murid memahami sejarah Malaysia, berkongsi pengalaman dalam dan luar sekolah, dan berkongsi aspirasi untuk masa depan Malaysia.

Keberkesanan Strategi Penulis Dalam Menyampaikan Maklumat Kepada Seluruh Warga Organisasi dan Komuniti Setempat

Kesimpulannya, sebagaimana contoh dan gambaran yang telah penulis jelaskan dalam perenggan di atas, penulis percaya bahawa maklumat berkaitan PPPM telah berjaya disampaikan kepada golongan sasaran. Penulis berharap agar kecemerlangan pendidikan dapat direalisasikan di sekolah penulis pada tahun-tahun mendatang. Bak kata pepatah ’perahu sudah di air, pendayung sudah ditangan’ hanya mahu atau tidak kita menggerakkannya.

Rujukan:
1                    Laporan Awal Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025- Kementerian
             Pelajaran Malaysia.
2                    Berita Harian, 11 September 2012.
3                    apps.moe.gov.my/sppbs/Pentaksiran Berasaskan Sekolah
4                    Falsafah Pendidikan Kebangsaan.

5                    skserichedingbba1015blogspot.